Selamat Datang

Teratak Minda Tinta Jiwa







Sunday, March 28, 2010

Kasih Si Milo

Milo adalah seekor kucing. Bulu Milo berwarna putih bertompok coklat. Mata Milo biru. Milo ditemui oleh keluarga Pak Samad ketika mereka berkelah di Pantai Batu Buruk. Ketika itu Milo masih kecil. Keluarga Pak Samad amat menyayangi Milo.

Pak Samad mempunyai tiga orang anak. Seorang lelaki dan dua orang perempuan. Semua anak-anak Pak Samad menyayangi Milo. Milo di jaga dengan penuh kasih sayang. Milo diberi makan makanan kucing supaya ia sihat dan bulunya elok. Milo diberi tempat tidur di dalam bakul yang dilapik dengan kain.

Pak Samad adalah seorang pekebun sayur.Isterinya, Mak Milah selalu menolongnya di kebun. Anaknya yang kecil, Lia dibawa bersama ke kebun. Lia berusia dua tahun. Lia diletakkan di dalam buaian yang di gantung pada pohon ketapang berhampiran kebun Pak Samad. Anak-anak Pak Samad yang lain, Ida dan Adam sudah pun bersekolah.

Milo selalu mengekori Pak Samad. Bila Pak Samad berada di kebun, Milo akan bermain-main di bawah pohon ketapang. Ia akan mengejar belalang atau rama-rama yang berterbangan ataupun bermain dengan buah-buah ketapang yang jatuh. Ia tidak akan meninggalkan jauh buaian Lia.

Pada suatu hari, ketika Pak Samad dan Mak Milah bekerja di kebun, seekor ular sawa dari pohon ketapang, menyusur dan melilit tali buaian Lia. Milo ternampak ular tersebut. Ia berlari memberitahu Pak Samad dan Mak Milah, tetapi Pak Samad dan Mak Milah tidak menghiraukannya. Ia mengiau-ngiau dengan nyaring tetapi Pak Samad tidak faham.

" Apa yang kamu bisingkan ni Milo? Kalau lapar, nanti pulang Mak Milah bagi kamu makanan. Sekarang, jangan ganggu kami bekerja. Pergi jaga Lia." Arah Pak Samad.

Milo berlari pula ke arah Lia. Ular sawa itu sudah pun berada di dalam buaian Lia. Tanpa lengah, Milo menerkam dan menggigit ekor ular sawa tersebut. Ia cuba menarik ular itu dari buaian Lia. Lama dia berusaha, barulah ular itu berjaya dikeluarkan. Lia tersedar dari tidur dan dia menangis.

Mak Milah mendapatkan Lia. Alangkah terperanjatnya Mak Milah melihat Milo yang sedang bergelut dengan seekor ular sawa yang sebesar betisnya. Dia menjerit memanggil Pak Samad. Pak Samad dan dua orng pekerjanya datang dan membunuh ular tersebut.

Pak Samad memeluk Milo yang sudah lemah. Dia berterima kasih pada Milo. Kerana Milo, anaknya masih hidup. Kasih Milo menyelamatkan Lia. Selepas hari itu, Pak Samad dan Mak Milah tidak lagi membawa Lia ke kebun mereka. Lia ditinggalkan kepada jiran di sebelah rumah mereka. Milobertugas untuk menjaga Lia.

Friday, March 19, 2010

Hidup Jangan Putus Asa

Anak-anakku..
Dalam Hidup jangan putus asa. Kalau belajar, tak faham... tanya dan renungi sampai kita faham.

Thursday, March 11, 2010

Dendam 2

“Kamu ada dengar tak?” Mak Su Limah yang sedang menyapu sampah di laman menghentikan sapuannya. Matanya mengekori langkah payah Mek Yah Gempal. Wanita lingkungan 40-an itu melabuhkan punggungnya yang lebar itu di pangkin yang terletak di bawah pohon gajus yang rendang. Baju kebaya sendat lagi pendek dan kain selisih yang terbelah sampai ke pangkal paha itu memayahkan lagi pergerakannya.
“Eh! Kamu ada dengar khabar tak?” Mek Yah Gempal menyapu peluh yang meleleh di pipinya.
“Berita apa pula yang kamu bawa hari ini Mek Yah oi…?” Sebenarnya Mak Su Limah malas mahu melayan mulut Mek Yah.
Suaminya, Pak Su Dollah melarang keras dia mendengar Mak Yah bercerita. Tetapi mengenangkan hidup perlu berbudi bahasa, dia tetap juga melayan Mek Yah.
“ Kamu tak dengar ke…. Zuraida dah balik?”
“Zuraida…..? Dia dah balik?” Mak Su Limah berbasi-basi.
Sebenarnya, malam tadi Pak Su Dollah sudah mengkhabarkan padanya berita tetang menantu tak jadinya. Ngah Jali sendiri yang bercerita kepada suaminya tentang nasib yang menimpa Zuraida.
“ Dia balik bawak anak. Aku dengar khabar….. dia dah jadi gila.” Terjuih-juih mulut Mek Yah bercerita.
“Tak baik kamu cakap macam tu. Dia bukan gila… tapi meroyan.” Bela Mak Su Limah.
“Ooooo…. Kamu dah tahu tentang Zuraida. Buat apa kamu nak bela dia. Bukankah dia telah memalukan kamu sekeluarga. “
Memang, bila memikirkan apa yang telah Zuraida lakukan kepada mereka sekeluarga, dia akan rasa marah dan malu. Tapi bukan keluarganya sahaja yang malu. Keluarga Ngah Jali juga menanggung aib. Seminggu lagi majlis perkahwinan nak berlangsung, pengantin perempuannya menghilangkan diri. Kasihan Kamarul Zamri, anak ketiganya yang amat menyukai Zuraida. Kesannya, Kamarul Zamri tidak kahwin-kahwin sampai sekarang. Zulaikha dan Kamarul Hanafi yang menjadi galang ganti mengelakkan malu, sekarang dan beranak tiga.
Tetapi, bila mendengar cerita Pak Su Dollah malam tadi, dia menjadi kasihan kepada Zuraida. Itulah nasib tentuan Allah. Suami sendiri tidak mahu menerima anak yang dilahirkannya. Ngah Jali dihubungi oleh pihak hospital Kuala Lumpur, menyatakan bahawa anak perempuannya di tahan di wad sakit jiwa setelah ditemui oleh orang ramai cuba membunuh anaknya sendiri. Hari itu juga Ngah Jali ke Kuala Lumpur bersama Osman yang bekerja sebagai askar. Dia pernah bertugas di Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke sini. Susah payah Ngah Jali berusaha untuk keluarkan Zuraida dan membawa balik cucunya. Seminggu Zuaraida dibawa berubat di Bentung, rumah sepupu Osman. Sekarang Zuraida dah elok sikit. Kasihan Zuaraida.

Bersambung....
Hari ini keputusan SPM keluar. Masih terbayang diruangan ingatan, kerana aku yang suka menonton tv dan menulis cerita, orang percaya bila kunyatakan bahawa aku gagal dalam SPM. Sedangkan keputusanku masih boleh membanggakan keluarga. Biasalah... bagi orang-orang yang malas macam aku ni... Tapi sekarang aku dah insaf. Kalau aku rajin dulu... pasti tak perlu aku bersusah payah membahagikan masa mengulangkaji pelajaran, menjaga anak-anak, mengurus rumahtangga selain menjalankan tugas sebagai guru demi menggenggam segulung ijazah sekarang.

Wednesday, March 10, 2010

Dendam

Seumur hidupnya dia tidak pernah merasa selemah ini. Dia benar-benar tidak berdaya. Otaknya seolah-olah hilang fungsi. Jiwanya kosong. Selama ini dialah yang paling teguh jiwanya. Hatinya keras sekeras kerikil. Amarah ayahnya tidak pernah dia gentar. Rayuan ibunya tidak pernah membuatkan hatinya lembut. Hinaan dan celaan orang ramai tidak pernah melemahkan dirinya. Apabila dia melangkah meninggalkan kampong tumpah darahnya, dia telah bersumpah, dia tidak akan kembali lagi. Hatinya memang keras. Namun, hari ini dia kalah. Memandang bayi kecil dalam dokongannya membuat dia benci. Rasa bagai mahu dilempar bayi itu ke dinding batu. Mahu dilenyek-lenyek bayi itu dengan kakinya yang telanjang. Bayi itu yang mebuatkan dia hilang segalanya. Bayi itu yang membawa dia merempat di lorong yang kotor. Bersusah payah dia mendaki ke tahap yang sudah dianggap amat selesa dan anak itu telah memusnahkan segala-galanya, sekelip mata.
“Pergi! Aku tidak mahu ada kaitan dengan kamu lagi. Sebaik sahaja anak itu lahir, aku dah jatuhkan talak ke atas kamu.” Keras suara itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Apa salah Zu, bang? Apa dosa anak ini?” Tangisan tidak dapat melembutkan hati Syed Badrishah.
“Dia bukan anak aku.” Bagaikan halilintar membelah hatinya apabila mendengar kata-kata yang lahir dari mulut yang selama ini begitu manis menabur janji.
“Dia bukan anak aku. Tidak pernah ada keturunan aku yang cacat. Entah anak siapa yang engkau kandungkan.”
“Abang! Abang kan tahu Zu sudah meninggalkan semua kerja Zu selepas kita kahwin. Walau Zu seorang GRO, pada malam pertama kita abang sendiri tahu samaada Zu masih suci atau tidak.”
“Ah! Macam-macam cara yang boleh digunakan untuk menipu. Bila kau dah kahwin, lagi senang kau pergi cari jantan lain. Entah-entah… Bila aku tak ada kat rumah, kau pergi merayap kat Bukit Bintang.” Mata Syed Badrishah memancarkan seribu prasangka dan kebencian.
“Abang!!!”
Serendah itu Syed Badlishah yang pernah berjanji akan hidup bersama selama hayat dikandung badan mentarafkan dirinya.
“Nah! Aku sudah suruh Mak Yam kemaskan pakaian kamu. Sebagaimana kamu masuk ke sini, begitu juga bila kamu keluar. Aku mengharamkan semua harta aku untuk kamu dan anak itu.”

Mukadimah

Sudah lama aku bercita-cita kata-kata mindaku kuluahkan pada dunia. Kalau tidak bergelar novelis, biarlah sekadar bloger. Dalam harapan ada coretan yang membawa teladan, ada cerita yang menghiburkan dan ada cerita yang memberi panduan.